Apakah Perancangan
Bandar?
Perancangan Bandar dikenali sebagai "Perancangan fizikal" atau "perancangan
kegunaan tanah". Dengan lain perkataan ianya adalah satu seni dan sains
dalam membentuk pertumbuhan dan pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi
kawasan-kawasan bandar dan juga luar bandar.
Siapa yang
bertanggungjawab dalam merancang bandar?
Di Semenanjung Malaysia, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sama-sama
bertanggungjawab ke atas perancangan bandar dan desa, di mana Jabatan
Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia berfungsi memberi nasihat
secara menyeluruh ke atas dasar-dasar perancangan negara kepada semua
Kementerian, Jabatan Kerajaan dan separa Kerajaan. Manakala Jabatan
Perancangan Bandar dan Desa Negeri berfungsi untuk memberi nasihat kepada
Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan di negeri masing-masing di
samping mengawal pembangunan.
Apakah konsep
perancangan?
Satu bidang yang dapat menentukan persekitaran kehidupan dan tempat tinggal
yang sempurna, selesa dan berkualiti melalui gabungan alam bina dan alam
sekitar secara harmoni. Ianya melalui proses analisis keadaan semasa,
kenalpasti isu, masalah dan potensi mengemukakan cadangan bagi dasar
tindakan dan perancangan serta kawalan penggunaan tanah.
Apakah Peruntukan
Undang-undang untuk Aktiviti Perancangan bandar?
Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) adalah peruntukan
undang-undang secara langsung yang menjelaskan siapa yang berperanan dan
bertanggungjawab, bidang tugas dan aktiviti-aktiviti perancangan bandar.
Apa itu Rancangan
Pembangunan?
Rancangan Pembangunan terdiri daripada Rancangan Fizikal Negara, Rancangan
Struktur, Rancangan Tempatan serta Rancangan Kawasan Khas. Ianya menjadi
dokumen rujukan yang sah untuk rangkakerja perancangan, menggalakkan
pembangunan pihak berkuasa negeri (PBN).
Apakah Rancangan
Fizikal Negara?
RFN adalah rancangan reruang ”spatial” negara yang memberi panduan strategik
mengenai arah dan corak pembangunan fizikal negara.
Apakah Rancangan
Struktur?
Merupakan satu penyertaan bertulis yang mengemukakan dasar-dasar dan
cadangan-cadangan am mengenai pemajuan guna tanah termasuk langkah-langkah
mengawal alam sekitar dari segi fizikal, perhubungan dan lalulintas bagi
jangkamasa 15 hingga 20 tahun.
Apakah Rancangan
Tempatan?
Merupakan suatu pelan terperinci yang menterjemahkan polisi-polisi dan
cadangan-cadangan yang terkandung dalam Rancangan Struktur. Ia menunjukkan
secara bersekil besar tatatur pembangunan bagi suatu kawasan yang dilengkapi
dengan pernyataan bertulis untuk menerangkan dasar-dasar dan butir-butir
lanjut mengenai pembangunan tersebut.
Laporan Cadangan
Pemajuan.
Adalah satu laporan yang dikehendaki disediakan mengikut peruntukan Seksyen
21A,Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 1995, yang perlu dikemukakan
bersekali dengan pelan tatatur yang dikemukakan samada untuk permohonan
tukar syarat, pecah sempadan atau mendirikan bangunan di mana yang berkaitan.
Ianya membentangkan asas-asas perancangan, rasional-rasional dan justifikasi
yang dapat mengukuhkan kesesuaian cadangan-cadangan pemajuan. Juga dapat
membantu kelicinan proses pertimbangan oleh Pihak Berkuasa Kerajaan terhadap
permohonan yang dikemukan.
Kebenaran Merancang.
Kebenaran Merancang hendaklah diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
sebelum sesuatu pemajuan dapat dimulakan mengikut seksyen 19. Permohonan
mendapatkan Kebenaran Merancang hendaklah mengikut bentuk dan mengandungi
butir-butir, dan disertakan dengan dokumen-dokumen dan pelan-pelan yang
ditetapkan oleh PBT sebagaimana diperuntukan mengikut seksyen 21 (1).
Seksyen 21 (3) berkehendakkan supaya jika permohonan melibatkan pendirian
bangunan, maka PBT boleh mengarahkan pemohon mengemukakan butiran-butiran
seperti aras tapak bangunan, ketinggian dan anjak belakang bangunan dan
sebagainya.
Siapa yang memberi
Kebenaran Merancang?
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya/Majlis Perbandaran/Majlis
Daerah yang memberi kebenaran merancang secara bertulis keatas permohonan
yang dikemukakan oleh pemohon.
Apakah Kegunaan
Kebenaran Merancang?
Setiap pembangunan yang ingin dijalankan perlu Kebenaran Merancang. Ianya
untuk PBT mengawal perancangan dan pembangunan serta menjadi satu bentuk
tanggungjawab terhadap PBT yang meluluskan dan menjalankan kerja-kerja
pembangunan.
Apakah kesan jika
pembangunan dijalankan tanpa/tidak memenuhi Kebenaran Merancang?
Ianya merupakan kesalahan mandatori dibawah Akta 172. Sabit kesalahan boleh
dikenakan denda sehingga RM500,000.00 atau penjara dua(2) tahun atau
kedua-duanya sekali.Denda akan dikenakan sehingga RM5000.00 setiap hari
kesalahan berterusan.
Apakah itu Khidmat
Nasihat Perancangan?
Khidmat Nasihat Perancangan adalah perkhidmatan jabatan ini kepada orang
awam sebelum mengemukakan permohonan rasmi kepada PBT. Ianya disediakan
melalui perkhidmatan di kaunter melalui pertanyaan, secara bertulis dan
secara email.
Bolehkah pemohon
membuat pertanyaan dan semakan perancangan?
Bahagian Kawalan Perancangan bersedia menjawab sebarang pertanyaan melalui
telefon, di kaunter dan secara email berhubung dengan masalah permohonan
perancangan.
Apakah maklumat yang
diperlukan untuk melihat guna tanah bagi lot pemohon?
Pemohon perlu mengemukakan ;
No Lot dan No Syit bagi memudahkan mendapatkan maklumat berkenaan guna tanah
bagi lot tersebut.
Berapa lamakah masa
yang diambil oleh jabatan untuk memproses permohonan perancangan?
Mengikut Piagam Pelanggan jabatan masa yang di ambil adalah selama 14 hari
bekerja jika maklumat yang disediakan lengkap.
Apa dia Lembaga
Rayuan?
Lembaga Rayuan adalah satu badan yang ditubuhkan oleh Pihak Berkuasa Negeri
bertujuan untuk memberi peluang kepada orang awam yang terkilan atau tidak
puas hati dengan keputusan Kebenaran Merancang yang dibuat oleh Pihak
Berkuasa Perancangan Tempatan.
Apakah perkara yang
boleh dibuat rayuan?
*Sek.23 (1)(a) - permohonan yang ditolak atau syarat-syarat yang dikenakan.
*Sek.25 (9) - Pampasan yang ditawarkan hasil daripada penarikan balik
kebenaran Merancang atau pengubahan kebenaran Merancang.
*Sek.30 (2) - Notis permintaan yang - memberhentikan pengunaan ,
mengemukakan syarat bagi penggunaan tanah , meminta langkah-langkah tertentu
di ambil.
*Sek. 30 (7) - terkilan dengan jumlah bayaran pampasan
*Sek. 35,35b,35d dan 36 - terkilan dengan apa-apa perintah Bahagian V(a)
Perintah Pemeliharaan Pokok Akta A933
Adakah keputusan
Lembaga Rayuan boleh diatasi oleh lain-lain mahkamah?
Keputusan Lembaga Rayuan adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam
mana-mana mahkamah.
Apakah definisi pembangunan mampan?
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka : Sustainable = Berterusan.
Suruhanjaya Dunia mengenai
Alam Sekitar dan Pembangunan (Laporan Brundtland 1987) mendefinisikan
pembangunan mampan sebagai “pembangunan yang membolehkan generasi semasa
memenuhi keperluannya tanpa mengkompromikan kemampuan generasi mendatang
memenuhi keperluan mereka”
Apa local Agenda 21?
Local Agenda 21 (LA21) ialah
suatu program untuk masyarakat, sektor swasta dan Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis
Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Bandaraya dan Dewan Bandaraya)
bekerjasama untuk merancang dan menguruskan kawasan persekitaran mereka ke
arah pembangunan mampan.
Apakah definisi
Bandar Selamat?
Bandar yang bebas dari semua
ancaman fizikal, sosial dan mental. Persekitarannya sentiasa dalam keadaan
paling terpelihara. Tidak menimbulkan suasana yang boleh menggalakkan
kejadian mengganggu-gugat kesejahteraan setempat. Penghuni sentiasa berada
dalam keadaan yang paling selamat, sejahtera, sihat dan ceria.